Pendidikan Pemangkin Perubahan Masa Depan Komuniti Penan
SUAI: Pendidikan terus dikenal pasti sebagai pemangkin utama dalam mengubah masa depan masyarakat Penan, khususnya dalam usaha meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar di Sarawak.
Residen Bintulu merangkap Presiden Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak (PETIPUN), Datu Nyurak Keti, berkata masih terdapat sebahagian anak-anak Penan yang belum mendapat akses pendidikan, terutama di kawasan pedalaman yang serba mencabar.
Menurut beliau, situasi itu memerlukan perhatian serius serta tindakan bersepadu daripada semua pihak termasuk pemimpin tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan tiada generasi muda tercicir daripada sistem pendidikan negara.
“Jika kita mahu anak-anak Penan berjaya menjadi doktor, peguam atau pemimpin, mereka mesti bersekolah. Pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk mengubah masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Penan ‘Tipun Pinum Pengida Penan’ di Kampung Maring, Jambatan Suai, di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa cadangan penggunaan kontena sebagai kelas sementara akan dilaksanakan bagi membolehkan sesi pembelajaran dijalankan di kawasan pedalaman yang masih belum mempunyai kemudahan sekolah.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekangan peruntukan bagi penghantaran kemudahan tersebut ke lokasi terlibat masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani segera.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar memperkukuh kerjasama dalam mencari penyelesaian bagi memperluas akses pendidikan kepada masyarakat Penan.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar setiap rumah panjang menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan sebagai usaha meningkatkan tahap pendidikan komuniti secara menyeluruh.
Selain itu, beliau turut memohon agar kerajaan meneruskan pengambilan khas guru dalam kalangan masyarakat Penan serta membuka lebih banyak peluang kepada graduan Penan untuk menyertai perkhidmatan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan komuniti Penan tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.
Pesta Penan yang berlangsung selama dua hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pertandingan sepak takraw, bola sepak, lompat jauh serta permainan tradisional seperti Pekang Luten atau hidup api.
Selain itu, gerai jualan makanan, minuman dan kraf tangan turut disediakan, sekali gus memeriahkan lagi program yang menjadi platform memperkukuh perpaduan serta identiti masyarakat Penan.- EDISI UKAS