Latihan Pertolongan Cemas Perkasa Kesiapsiagaan Komuniti di Sibu
SIBU: Keupayaan komuniti bertindak pantas dalam situasi kecemasan perlu diperkasa melalui penguasaan ilmu pertolongan cemas, selaras dengan usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Sibu memperluaskan latihan kepada masyarakat.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata pengetahuan asas pertolongan cemas merupakan kemahiran kritikal yang mampu menentukan perbezaan antara hidup dan mati sebelum bantuan profesional tiba.
Beliau yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata usaha memperluas latihan tersebut penting dalam membina komuniti yang lebih responsif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, penglibatan aktif masyarakat termasuk golongan pelajar mampu memperluaskan penyebaran ilmu pertolongan cemas sekali gus melahirkan lebih ramai individu yang berperanan sebagai ejen perubahan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jualan Bendera Tahunan PBSMM Sibu yang berlangsung di Star Mega Mall pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kempen Jualan Bendera bukan sekadar platform kutipan dana, sebaliknya medium penting untuk menyemai nilai kemanusiaan, kesukarelawanan serta kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Pengerusi PBSMM Sibu Penghulu Chua Hiong Kee serta Penasihat Kehormat PBSMM Sibu Datuk Lau Ngie Hua.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti melalui pendidikan pertolongan cemas sebagai langkah awal menyelamatkan nyawa.- EDISI UKAS