Bekalan Air Sarawak Masih Terkawal, Lori Tangki Siap Siaga Hadapi Musim Kemarau
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menyediakan lori tangki air dalam keadaan siap siaga di seluruh negeri sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan musim kemarau dan cuaca panas berpanjangan.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, lori tangki yang digunakan terdiri daripada aset milik Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water, selain lori tangki tambahan yang disewa bagi memastikan keperluan bekalan air dapat dipenuhi sekiranya berlaku gangguan.
"Jadi, kita mempunyai lori tangki air yang sentiasa bersedia untuk memenuhi permintaan bekalan air dan jika berlaku kemarau, kita perlu menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas.
"Setakat ini, keadaan masih terkawal di mana bekalan air masih mencukupi," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di kediamannya, di sini, pada Ahad.
Mengulas sama ada terdapat laporan awal berkaitan gangguan bekalan air, Dato Sri Julaihi berkata, setakat ini belum ada sebarang laporan diterima termasuk ketika sambutan Aidilfitri di mana keadaan bekalan air di seluruh Sarawak masih berada pada tahap yang baik.
Namun begitu, kementeriannya akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan sebarang keperluan bekalan air dapat ditangani dengan segera sekiranya berlaku perubahan cuaca yang menjejaskan penduduk.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi memberitahu, sebanyak 93 peratus daripada hampir 360 projek bekalan air bernilai hampir RM7 bilion di seluruh Sarawak telah siap atau sedang dilaksanakan.
Jelasnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan dan menaik taraf kemudahan rawatan air, pelaksanaan sistem grid bekalan air serta penggantian dan menaik taraf paip di seluruh Sarawak.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, hampir RM5.9 bilion diperuntukkan bagi projek berkaitan loji rawatan air dan sistem grid, manakala RM1.1 bilion lagi melibatkan kerja-kerja penggantian serta menaik taraf paip sepanjang 2,740 kilometer.
"Ini bermakna hanya sekitar 6 hingga 7 peratus sahaja yang masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan atau pra-kontrak," katanya.
Pada masa ini, jelas beliau, liputan penuh bekalan air telah dicapai di kawasan bandar, manakala liputan di luar bandar berada pada tahap 71 peratus, dengan purata keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak kini sekitar 85 hingga 86 peratus.
Hadir di majlis rumah terbuka tersebut, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Ibrahim Baki dan Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS