Rakyat Diseru Perkukuh Kerjasama Hadapi Cabaran Global
MIRI: Semangat kerjasama dan saling membantu dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi mendepani cabaran ekonomi semasa, khususnya kenaikan harga barang dan bahan api yang memberi tekanan kepada kehidupan seharian rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, situasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi keluarga, malah turut mempengaruhi kesejahteraan emosi masyarakat.
Menurut beliau, dalam keadaan mencabar itu, rakyat perlu terus mengamalkan nilai tolong-menolong serta memperkukuh perpaduan sebagai benteng menghadapi tekanan global.
“Kita bersyukur Sarawak di bawah kepimpinan Premier, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg kekal stabil, aman dan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Jati Lawas Di Miri (PAJLDM) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi meringankan beban kos sara hidup.
Tambahnya, perpaduan dan kerjasama yang kukuh merupakan kekuatan utama Sarawak dalam memastikan pembangunan berterusan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting PAJLDM sebagai platform yang bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah membantu menjaga kebajikan ahli khususnya anak jati Lawas yang menetap di Miri.
“Persatuan ini menjadi medium untuk membantu mereka yang datang ke sini bagi tujuan pendidikan, rawatan kesihatan dan urusan keluarga.
“Melalui persatuan, kita dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan agar persatuan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat merangkumi bidang pendidikan, kesihatan dan keusahawanan.
Terdahulu, Pengerusi PAJLDM, Dr Narawi Abu Bakar dalam ucapannya memaklumkan bahawa persatuan tersebut aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan termasuk menyantuni pesakit yang dirujuk ke Hospital Miri.
“Sepanjang tahun ini, persatuan telah menguruskan lebih daripada 16 kes pengurusan jenazah untuk dibawa pulang ke Lawas sebagai satu amanah yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kecemerlangan kepada warga Lawas di Miri sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.
Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus serta Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad.-EDISI UKAS