Musim Kemarau: Titik Panas Di Sibu, Mukah Cetus Tindakan Segera
KUCHING: Sarawak kini berdepan cuaca panas dan kering dengan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai titik panas, sekali gus mendorong tindakan segera diambil bagi memadamkan kebakaran serta mengurangkan risiko merebak ke kawasan berhampiran.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini satu titik panas dikesan di Kemuyang, Sibu manakala satu lagi di Penasu, Mukah.
Menurut beliau, kebakaran di Sebuyau telah berjaya dipadamkan, manakala satu lagi insiden kebakaran turut dilaporkan berlaku di Bintulu.
"Pada pagi ini, pasukan bomba akan dihantar menggunakan helikopter untuk melaksanakan operasi pengeboman air di Penasuk dan seterusnya ke Sibu.
"Operasi pengeboman air ini dijalankan di kawasan tanah gambut kerana ia kawasan yang sangat mencabar apabila berlaku kebakaran.
"Ini kerana walaupun kita hanya dapat melihat asap keluar, api sebenarnya boleh merebak ke kawasan yang lebih luas kerana apabila kita dapat melihat nyalaan api muncul, itu menunjukkan kawasan yang terbakar adalah sangat besar.
"Oleh itu, strategi kita ialah memadamkan kebakaran secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi di rumah kediamannya, di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka, terutama ketika cuaca panas dan kering, bagi mengelakkan risiko kebakaran besar.
Selain isu kebakaran, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, beberapa kawasan di Sarawak kini mula berdepan masalah bekalan air, khususnya di kawasan pesisir, dan dijangka boleh merebak ke lebih banyak kampung di kawasan pedalaman sekiranya cuaca kering berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Beliau berkata, laporan awal setakat ini telah diterima dari Betong, manakala beberapa kawasan lain turut dipantau rapi bagi mengenal pasti tahap kesan kekurangan air minuman kepada penduduk.
"Oleh itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang digerakkan bagi membantu mengatasi masalah kekurangan air tersebut kerana terdapat beberapa kawasan yang tidak mempunyai bekalan air minuman kerana keadaan cuaca yang sangat kering.
"Ketika ini, bantuan sedang digerakkan dan kemudahan berkaitan sedang disediakan agar dapat memastikan segala kesulitan yang dialami rakyat dapat dikurangkan.
"Kita juga berharap semua unit dan agensi akan terus berganding bahu menyelesaikan masalah ini demi membantu rakyat," jelasnya.
Tambahnya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan membantu menggerakkan operasi penghantaran air menggunakan lori tangki untuk membawa dan menggerakkan bekalan air ke kawasan yang mengalami kekeringan.
Mengulas kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan, Uggah berkata langkah itu hanya akan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir kerana ia bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai.
Katanya, keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat sekiranya keadaan benar-benar memerlukan.
Hadir di majlis rumah terbuka tersebut, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Ibrahim Baki dan Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS