Peringatan Operasi Semut Ke-81 Serlah Semangat Perpaduan dan Keberanian Sejarah Sarawak
BARIO: Peringatan ulang tahun ke-81 Operasi Semut di Daerah Kecil Bario menjadi platform penting dalam menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu, di samping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 pengunjung itu dianjurkan oleh Rurum Kelabit Sarawak pada Sabtu itu bagi memperingati pendaratan payung terjun pasukan khas Z Force pada tahun 1945, yang menjadi antara episod penting dalam sejarah Perang Dunia Kedua di Borneo.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak bagi Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala dalam perutusannya berkata, peringatan tersebut memberi ruang untuk mengenang keberanian serta pengorbanan mereka yang terlibat dalam gerakan penentangan terhadap tentera Jepun.
“Operasi Semut dilaksanakan oleh anggota Unit Khas Z yang menjalankan misi berani jauh di pedalaman Borneo dengan kerjasama rapat komuniti pribumi Sarawak.
“Usaha mereka memperlihatkan keberanian, ketabahan dan semangat kerjasama luar biasa dalam keadaan amat mencabar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sokongan komuniti tempatan yang membantu dari segi perlindungan, panduan kawasan serta logistik menjadi faktor penting kejayaan operasi tersebut.
Menurutnya, sumbangan masyarakat tempatan itu kekal sebagai sumber kebanggaan negeri dan bukti kukuh semangat perpaduan serta keberanian rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar kisah perjuangan dan kerjasama yang terjalin melalui Operasi Semut terus dipelihara serta dikongsi kepada generasi muda sebagai inspirasi dan pedoman.
“Sempena ulang tahun ini, amat penting untuk kita terus memelihara dan berkongsi kisah keberanian ini agar nilai kesetiaan, ketahanan dan kerjasama dapat terus dihayati,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Presiden Rurum Kelabit Sarawak Dato Isaac Lugun, Ketua Utama Kelabit Pemanca Caleena Lallang, Penghulu Ken Paran Matu serta wakil agensi dan pegawai tentera dari dalam dan luar negara.
Untuk rekod, Operasi Semut merupakan operasi ketenteraan pihak Berikat yang dikendalikan oleh pasukan khas Australia dikenali sebagai Z Force pada tahun 1945, dengan tujuan mengumpul risikan, melatih penduduk tempatan serta melancarkan perang gerila bagi menentang tentera Jepun di pedalaman Sarawak.
Operasi tersebut berjaya melemahkan kedudukan musuh dan menyumbang kepada pembebasan Borneo, sekali gus kekal sebagai simbol kerjasama erat antara tentera Berikat dan masyarakat tempatan.-EDISI UKAS