6 Wakil Sarawak Sertai Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan
KUCHING: Sarawak akan menghantar seramai enam wakil bagi menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 18 April ini di Kuala Terengganu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha dalam sidang media yang berlangsung di Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, penyertaan tersebut melibatkan kategori tilawah dan hafazan, merangkumi peserta lelaki dan perempuan.
"Bagi kategori tilawah, Sarawak akan diwakili oleh Jubni Sulong sebagai Qari dan Nur Syakura Mohamad Musa sebagai Qariah.
"Sementara itu, kategori hafazan pula diwakili oleh Azizul Azmin Abdul Rajak, Adeela Bokhari, Harith Zakwan Sebli serta Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman,"ujarnya.
Tambah Datuk Misnu, kesemua peserta telah melalui proses pemilihan yang rapi serta menjalani latihan intensif termasuk kursus khas sebagai persediaan menghadapi pertandingan di peringkat kebangsaan.
“Walaupun pencapaian sebelum ini belum begitu memberangsangkan, namun usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi peserta.
"Kita berharap wakil Sarawak mampu memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama negeri,” jelasnya lanjut.
Perasmian pembukaan bagi majlis berkenaan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 13 April 2026.
Manakala, majlis penutup dan penyampaian hadiah pula dijangka disempurnakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah pada 18 April 2026.
Dalam perkembangan lain, Datuk Misnu juga memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Pusat Al-Quran dan Hafazan sebagai usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Al-Quran di wilayah ini.
Katanya, tapak pembinaan telah dikenal pasti dan pusat tersebut dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Turut serta dalam sidang media itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud dan para peserta yang mewakili Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H. -EDISI UKAS