KUTS 2026 Kian Hampir, Ujian Bas Hidrogen Tunjuk Kesiapsiagaan Tinggi
KUCHING: Sarawak semakin hampir merealisasikan sistem pengangkutan awam moden dan rendah karbon apabila ujian operasi bas hidrogen yang dilaksanakan sejak 2020 membuktikan tahap kesiapsiagaan negeri berada pada landasan kukuh menjelang pelaksanaan besar-besaran Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) pada separuh kedua 2026.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, hasil ujian tersebut bukan sahaja memperlihatkan kematangan dari segi teknologi dan infrastruktur, malah turut mencerminkan keupayaan pembangunan modal insan dalam menyokong transformasi pengangkutan hijau negeri.
Menurut beliau, lawatan ke fasiliti Bas Hidrogen Sarawak Metro memberi gambaran jelas bahawa projek KUTS kini berada pada fasa kesiapsiagaan yang meyakinkan untuk dilaksanakan secara berskala besar.
“Sejak 2020, ujian bas hidrogen telah mencapai objektif utama iaitu mengumpul data operasi dan teknikal penting sebagai persediaan untuk pengoperasian skala lebih besar menjelang 2026.
“Ia sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa Sarawak berada pada landasan tepat untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam rendah karbon yang efisien dan mampan,” katanya semasa lawatan ke fasiliti berkenaan di sini pada Isnin.
Beliau menambah, pengalaman sepanjang tempoh percubaan turut memperlihatkan peningkatan ketara dari segi kesiapsiagaan operasi, sekali gus mengukuhkan keupayaan negeri dalam mengendalikan sistem pengangkutan berskala besar seperti KUTS.
“Hasil dapatan ini bukan sahaja memperkasa aspek teknikal, malah memperkukuh perancangan strategik, pengurusan serta pelaksanaan projek pengangkutan awam masa hadapan,” jelasnya.
Sepanjang tempoh ujian, tiga bas hidrogen telah beroperasi di laluan utama termasuk dari pusat bandar Kuching ke Damai Central, membuktikan keberkesanan teknologi tersebut dalam persekitaran sebenar.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Mohamad Lotfi Tuah, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd, Ts Mazli Mustaffa serta pegawai lain. –EDISI UKAS