Borneo100 Triathlon Buka Era Baharu Pelancongan Sukan Sarawak
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan sukan antarabangsa menerusi penganjuran Borneo100 Triathlon 2026 yang dijangka memberi impak signifikan kepada ekonomi negeri dan komuniti setempat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 21 Jun depan di Sematan mencerminkan langkah proaktif kerajaan negeri dalam membangunkan segmen pelancongan berasaskan acara ketahanan.
“Borneo100 Triathlon bukan sekadar perlumbaan, tetapi merupakan satu langkah penting dalam meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama bagi pelancongan sukan dan acara ketahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Borneo100 Triathlon 2026 di sini pada Khamis.
Menurut beliau, acara tersebut turut berperanan sebagai pemacu ekonomi melalui kehadiran pelawat berkualiti tinggi.
“Ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga pemacu ekonomi yang mampu meningkatkan kehadiran pelancong, tempoh penginapan serta perbelanjaan pelawat,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, keunikan lokasi Sematan yang menggabungkan elemen alam semula jadi, budaya dan pengembaraan memberikan pengalaman autentik kepada peserta serta menyokong promosi Sarawak berasaskan konsep Culture, Adventure, Nature, Food dan Festival (C.A.N.F.F).
Acara tersebut akan menampilkan laluan yang merangkumi renangan laut terbuka, kayuhan basikal pesisir pantai serta larian di laluan Lebuhraya Pan Borneo.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Triathlon Malaysia meningkatkan kredibiliti penganjuran di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Apabila sesuatu acara itu disahkan oleh badan induk, ia akan mengangkat kedudukannya ke tahap lebih tinggi dan memberi keyakinan kepada peserta serta penganjur,” jelasnya.
Setakat ini, sambutan awal terhadap edisi sulung acara tersebut amat menggalakkan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, China serta beberapa negara Eropah.
Penganjuran Borneo100 Triathlon 2026 turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat khususnya di Sematan melalui sektor penginapan, makanan dan perkhidmatan sokongan.
Sehubungan itu, kerajaan Sarawak komited untuk terus menyokong penganjuran acara berimpak tinggi yang bukan sahaja memperkukuh industri pelancongan, malah memperkasa komuniti serta meningkatkan profil negeri di peringkat global.-EDISI UKAS