Sarawak Siap Siaga Hadapi Kemarau Akibat Cuaca Panas & Kering
KUCHING: Sarawak kini berada dalam keadaan siap siaga susulan cuaca panas dan kering yang mula melanda negeri ini dengan lapan lokasi kebakaran telah direkodkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lokasi yang terlibat meliputi Mukah, dua lokasi di Betong, Simunjan, Sarikei, Bintulu, Miri dan Lawas.
Bagaimanapun katanya, semua kebakaran berjaya dipadamkan hasil kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, keadaan itu merupakan satu amaran awal kepada seluruh rakyat Sarawak memandangkan musim panas dan kering baru bermula dengan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah telah diarahkan supaya sentiasa bersedia.
"Jadi, kita minta Jawatankuasa Pengurusan Bencana supaya memantau keadaan, khususnya di kawasan tanah gambut di mana sekiranya ada bukti kebakaran berlaku, tindakan harus diambil secepat mungkin.
"Kepada rakyat, kita minta supaya mengelakkan pembakaran terbuka kerana itulah antara punca kebakaran kerana kadang-kadang ada yang melakukan pembakaran dan terlupa memadamkannya sebelum meninggalkan kawasan tersebut.
"Dalam keadaan cuaca panas dan kering, kebakaran boleh merebak dengan cepat," katanya dalam sidang media Mesyuarat JPBNS di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Khamis.
Tambahnya, isu kekurangan bekalan air juga dipandang serius dengan Kerajaan Sarawak telah mengarahkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memantau kawasan yang mengalami masalah bekalan air serta mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk terjejas.
Mengulas mengenai tindakan terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka, Datuk Amar Douglas menegaskan tindakan sememangnya boleh dikenakan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).
"Mereka akan memaklumkan, mengeluarkan notis serta memberi nasihat. Kita menyarankan supaya pihak berkuasa memberi nasihat dan mengambil tindakan sewajarnya kerana mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian," jelasnya.
Dalam pada itu dedahnya, JPBNS juga kini memantau keadaan semasa di negara jiran yang mengalami keadaan semasa terutamanya di kawasan Kalimantan.
Setakat ini ujarnya, tiada titik panas direkodkan di kawasan tersebut namun Kerajaan Sarawak akan terus memantau bagi memastikan keadaan ini tidak menambah buruk keadaan yang turut berlaku di negeri ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie