Laluan 5 Meter Undang Risiko, Penilaian Semula Diperlukan
BINTULU: Isu pengecilan laluan masuk utama di Taman Clean daripada 7 meter kepada 5 meter mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, sekali gus mendorong gesaan agar penilaian semula segera dilaksanakan demi memastikan aspek keselamatan tidak terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menegaskan bahawa perubahan tersebut bukan sahaja menjejaskan kelancaran keluar masuk kenderaan, malah berpotensi meningkatkan risiko kemalangan, khususnya di kawasan berhampiran longkang.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima daripada penduduk menunjukkan laluan asal sebelum ini telah dilebarkan kepada 7 meter bagi tujuan keselamatan dan keselesaan, namun kembali dikecilkan susulan pelaksanaan projek naik taraf longkang.
Beliau berkata, perubahan tersebut memberi kesan langsung kepada penduduk kerana laluan yang lebih sempit menyukarkan pergerakan serta meningkatkan risiko keselamatan yang perlu diberi perhatian serius.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak bersama wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), kontraktor serta penduduk di kawasan berkenaan pada Khamis.
Tambahnya, situasi tersebut memperlihatkan keperluan untuk menilai semula pendekatan pelaksanaan projek supaya lebih responsif terhadap keadaan semasa dan keperluan sebenar masyarakat setempat.
Katanya lagi, pelaksanaan projek berdasarkan pelan lama tanpa penyesuaian terhadap realiti semasa boleh mengundang pelbagai implikasi termasuk kesesakan lalu lintas dan ketidakselesaan pengguna.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan yang lebih praktikal dan berorientasikan rakyat perlu menjadi keutamaan agar setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat, bukan sebaliknya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkaitan dapat memperhalusi perkara tersebut dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.-EDISI UKAS