Perayaan Tokong Perkukuh Perpaduan Kaum di Kanowit
KANOWIT: Sambutan ulang tahun Dewa Fung Chin Kung di Tokong Fung Chin Kung, Hulu Pedai dekat sini pada Khamis menjadi platform signifikan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja mencerminkan kepercayaan masyarakat setempat, malah menyerlahkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian di Sarawak.
Menurut beliau, kerjasama dan persefahaman antara komuniti perlu terus diperkasa melalui pelbagai aktiviti bersama, termasuk sambutan perayaan keagamaan dan kebudayaan.
“Perayaan seperti ini membuktikan bahawa masyarakat mampu hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati walaupun berbeza latar belakang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peningkatan pencapaian akademik pelajar di kawasan tersebut, khususnya dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunjukkan trend memberangsangkan di beberapa sekolah.
Katanya, prestasi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya dan SMK Ng Dap yang semakin meningkat membuktikan komitmen berterusan pihak sekolah, guru serta ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan.
“Pendidikan merupakan kunci utama dalam membentuk masa depan generasi muda dan usaha mempertingkat pencapaian pelajar perlu terus diberi sokongan,” ujarnya.- EDISI UKAS