Karnival Gawai Bazaar Sri Aman 2026 Pacu Ekonomi Komuniti, Semarak Warisan Dayak
SIMANGGANG: Penganjuran Karnival Gawai Bazaar Sri Aman 2026 oleh Kelab Penggemar Ngepan Iban Simanggang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat di samping memperkukuh penghayatan budaya masyarakat Dayak menjelang sambutan Gawai Dayak, 1 Jun ini.
Karnival yang dirancang berlangsung selama 10 hari di perkarangan Mini Stadium Sri Aman pada penghujung April ini bakal menyediakan sebanyak 150 lot bazar kepada peniaga tempatan, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan serta merancakkan aktiviti keusahawanan.
Pengerusinya, Samy Nyarapong berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 lot diperuntukkan khas bagi jualan produk halal, manakala selebihnya melibatkan pelbagai kategori termasuk makanan, minuman, kraftangan dan pakaian.
“Penganjuran bazar ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Gawai, malah menjadi platform kepada usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing. Waktu operasi dicadangkan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, tarikh rasmi penganjuran akan dimuktamadkan dalam mesyuarat susulan pada pertengahan bulan ini.
Selain aktiviti jualan, karnival berkenaan turut menampilkan pelbagai program kebudayaan dan pertandingan tradisional seperti Pekit Gendang Pampat, Pekit Keling/Kumang Kanak-Kanak 12 Tahun Ke Bawah, Pekit Baju Kebaya, Pekit Karaoke, Pekit Bemukun serta Pekit Minum Ai Tuak.
Bagi menambah kemeriahan, beberapa artis Iban terkenal seperti Maxwell Franklin Saran dan Ricky Andrewson Ngalai dijangka mengadakan persembahan sepanjang karnival berlangsung.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dijangka hadir bagi merasmikan karnival tersebut pada 15 Mei ini.
Samy turut memaklumkan bahawa penganjuran karnival ini diharap dapat memperkenalkan identiti masyarakat Dayak kepada umum serta memperkukuh perpaduan antara kaum di Sri Aman.
Terdahulu, pihak kelab telah mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan di Kuching bagi membentangkan kertas kerja penganjuran serta mendapatkan pandangan dalam menambah baik pelaksanaan program berkenaan. -EDISI UKAS