ADUN Pantai Damai Segera Hulur Bantuan Mangsa Kebakaran
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara apabila bantuan segera disalurkan kepada mangsa kebakaran dalam satu lawatan di Lorong Cahya Aman 2D, Taman Puteri, petang Khamis.
Penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang turun padang meninjau keadaan rumah yang terjejas.
Dalam lawatan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menyampaikan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa susulan kejadian kebakaran yang menyebabkan kerosakan pada struktur rumah, terutama di bahagian dapur dan ruang tengah kediaman.
Turut hadir ialah Penghulu Taman Samariang Aman Ahmad Drahman serta Penghulu Taman Puteri Umar Abdullah yang bersama-sama menzahirkan sokongan kepada mangsa terlibat. -EDISI UKAS