TATAU: Jawatankuasa Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Tatau akan menganjurkan Majlis Malam Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Tatau 2026 pada 26 Mei ini di Dinner World Restaurant, Bintulu sebagai platform memperkukuh perpaduan komuniti serta memelihara warisan budaya masyarakat Dayak.
Majlis berkenaan dijangka dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Dato Sri John Sikie Tayai.
Pengerusi Pengelola, Pemanca Gerosen Jubin berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan Gawai Dayak, malah turut menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan di daerah ini.
Beliau memaklumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil peluang untuk hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa perpaduan dan kelestarian budaya masyarakat Dayak di daerah Tatau.-EDISI UKAS