SIBU: Seramai 42 keluarga di Ulu Durin menerima suntikan bantuan keperluan asas hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing dalam usaha meringankan beban rakyat, pada Khamis.
Agihan yang diselaraskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu melibatkan barangan dapur seperti beras, minyak masak, biskut dan mi segera, selain lampu tenaga solar bagi kegunaan harian penduduk.
Menurut Kapitan Li Siew Ching, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada projek khas yang digerakkan oleh Tiong, yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan diharap mampu memberi kelegaan kepada keluarga terlibat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup masa kini.
“Kerjasama erat antara penduduk kampung dan wakil rakyat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih efektif dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong, Teo Boon Siew.
Turut hadir Penghulu Teo Boon Chuen serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS