SAA Seru Tindakan Nyata Perkasa Inklusiviti Autisme
SIBU: Persatuan Autisme Sibu (SAA) menyeru masyarakat beralih daripada sekadar kesedaran kepada tindakan nyata dalam memperkukuh penerimaan individu autisme sempena Hari Autisme Sedunia 2026.
Pengerusinya, David Ngu berkata, pendekatan masyarakat perlu berubah daripada simpati kepada penerimaan sebenar, termasuk dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, konsep inklusiviti tidak harus terhad di institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya diperluas ke sektor pekerjaan dan komuniti.
Beliau turut memaklumkan peningkatan kes autisme saban tahun telah meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan sokongan.
Sehubungan itu, SAA kini di peringkat akhir menyiapkan bangunan baharu bagi menambah kapasiti perkhidmatan terapi dan pendidikan.
Bagaimanapun, hanya kira-kira 25 peratus kos pembinaan telah dijelaskan dan pihaknya merayu sokongan berterusan orang ramai serta sektor korporat bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya.-EDISI UKAS