Miri Wajar Terus Jadi Keutamaan Program CSR PETRONAS
MIRI: Miri wajar terus diberikan keutamaan dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS memandangkan bandar raya itu merupakan lokasi bersejarah yang menjadi titik permulaan industri petroleum negara lebih satu abad lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata hubungan Miri dengan industri minyak dan gas amat signifikan sejak penemuan telaga minyak pertama negara di Bukit Canada pada tahun 1910 yang menjadi asas kepada perkembangan sektor petroleum Malaysia.
Menurut beliau, industri tersebut telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan negeri, justeru manfaat pembangunan komuniti menerusi program CSR PETRONAS perlu terus diperkasakan di Miri, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya berharap apabila PETRONAS melaksanakan program CSR, jangan lupakan Miri kerana di sinilah bermulanya industri minyak negara. Banyak hasil daripada industri ini telah menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis PETRONAS Memacu Kehidupan Hari Gawai 2026 di Dewan Federation of Orang Ulu Association Sarawak Malaysia (FORUM), pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata Bahagian Miri yang mempunyai keluasan hampir menyamai negeri Pahang masih mempunyai kawasan pedalaman yang memerlukan sokongan berterusan dari segi pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa ramai anak tempatan Miri telah menabur bakti dalam industri minyak dan gas sejak beberapa generasi, sekali gus menjadikan sektor tersebut sebahagian daripada identiti dan sejarah pembangunan bahagian itu.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembangunan masa depan Sarawak perlu dipacu bukan sahaja melalui sumber semula jadi, tetapi juga menerusi pembangunan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan, latihan teknikal dan pembangunan bakat tempatan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan rakyat Sarawak mampu merebut peluang dalam industri strategik termasuk minyak dan gas, ekonomi digital serta ekonomi hijau.
“Pembangunan modal insan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan daya saing negeri pada masa hadapan. Kita perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri semasa dan masa depan,” katanya.
Pada majlis sama, Dato Sri Lee turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan kepada penerima Program PETRONAS Memacu Kehidupan Hari Gawai 2026.
Menerusi inisiatif CSR tersebut, PETRONAS menyampaikan sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas kepada 200 penerima dari sekitar Miri dan kawasan luar bandar termasuk Lambir sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan sempena sambutan Hari Gawai.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam menyantuni komuniti setempat serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan sosial.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. – Aset Sarawak Shalby Reduan, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pengurus Besar PETRONAS Malaysia Petroleum Management Calvin Ritek serta Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Rhymie Rashidie Ibrahim. -EDISI UKAS