Ziarah Raya Eratkan Silaturahim, Ahli Parlimen Santubong Santuni Komuniti Lundu
LUNDU: Suasana Aidilfitri terus disemarakkan dengan kunjungan Ziarah Raya oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri ke beberapa kediaman pemimpin komuniti di Kampung Sekambal Melayu dan Kampung Sileng Melayu pada Jumaat.
Kunjungan tersebut diadakan sejurus selesai lawatan rasmi beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu pada sebelah pagi sebelum meneruskan agenda menyantuni masyarakat setempat dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan sempena Aidilfitri.
Dalam ziarah berkenaan, Nancy berkesempatan mengunjungi kediaman Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu Fatimah Abdullah, serta kediaman Timbalan Ketua Cawangan PBB Tanjong Datu Abdul Razak Abdul Wahab.
Ziarah tersebut bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Selain bertanya khabar, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama tuan rumah dan ahli keluarga, sekali gus memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan komuniti setempat di daerah ini.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri, Mohammed Kamaludin Mohd Efendie, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, serta Timbalan Pengarah Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohd Ali Taib. -EDISI UKAS