Perpaduan Komuniti Diperkukuh, Aidilfitri Medium Satukan Masyarakat Luar Bandar
SARIBAS: Aidilfitri terus menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat luar bandar apabila Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Serembang menjadi wadah menyatukan komuniti setempat dalam suasana penuh muafakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran majlis seumpama ini bukan sekadar tradisi, sebaliknya memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan jaringan sosial, mempererat hubungan serta menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sambutan Aidilfitri perlu dimanfaatkan sebagai platform memperkukuh perpaduan komuniti selain memupuk budaya saling memahami, menghormati dan bekerjasama demi kesejahteraan bersama.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, tetapi menjadi medium penting untuk kita memperkukuh perpaduan serta semangat muafakat dalam komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Futsal Kampung Serembang, pada Jumaat.
Beliau turut menekankan peranan kepimpinan kampung agar sentiasa proaktif dan inklusif dalam mendengar pandangan serta keperluan rakyat, sekali gus memastikan pembangunan komuniti dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Tambah beliau, penglibatan aktif masyarakat dalam menyumbang idea serta cadangan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 penduduk itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Serembang dengan kerjasama pelbagai pertubuhan tempatan termasuk institusi kemasyarakatan dan belia.
Penganjuran secara bersama itu mencerminkan tahap kesepaduan komuniti yang tinggi, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan selari dengan aspirasi pembangunan masyarakat yang inklusif dan harmoni di Sarawak. - EDISI UKAS