Lebuk Melanau Dibangunkan, Perkukuh Warisan dan Perpaduan Komuniti
KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membina 'Lebuk Melanau' atau Rumah Melanau yang dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya RM55 juta sebagai mercu tanda baharu bagi memperkukuh warisan serta perpaduan komuniti di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek yang terletak di Wisma Melanau berhampiran Pusat Maklumat Islam (IIC) itu dijangka memulakan pembinaan tahun ini dan dijadualkan siap menjelang 2027.
Menurut beliau, projek tersebut telah mendapat kelulusan awal daripada Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) dan kini sedang dalam fasa penyediaan dokumentasi sebelum proses tender dilaksanakan.
"Lebuk Melanau akan berfungsi sebagai pusat interaksi komuniti serta lokasi bagi pelbagai aktiviti kebudayaan dan sosial yang melibatkan masyarakat Melanau serta kaum-kaum lain.
"Walau bagaimanapun, bangunan utama Wisma Melanau yang sedia ada akan tetap dikekalkan bagi memelihara nilai sejarah dan legasi kepimpinan terdahulu untuk tatapan generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak di Akademi Kastam Diraja Malaysia Kuching, pada Sabtu.
Mengulas mengenai kos pembangunan, Datuk Len Talif menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan membiayai sebahagian daripada kos tersebut, namun pelaksanaan perlu dipercepatkan bagi mengelakkan implikasi kenaikan kos akibat faktor ekonomi global.
Terdahulu,majlis ramah tamah tersebut berjaya menghimpunkan lebih 500 tetamu daripada pelbagai latar belakang etnik, sekali gus mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian rakyat Sarawak yang berterusan.- EDISI UKAS