Penyatuan 15 Kampung Biannah Pemangkin Utama Perpaduan
SIBURAN: Penyatuan 15 buah kampung sub etnik Biannah sejak penubuhan Persatuan Biannah pada tahun 2012 terus menjadi pemangkin utama kepada perpaduan, pembangunan dan kemajuan komuniti di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, penubuhan persatuan berkenaan memainkan peranan signifikan sebagai platform penyatuan masyarakat Biannah merangkumi 15 buah kampung, sekali gus memastikan identiti, sejarah dan asal-usul komuniti terus dipelihara.
Menurut beliau, Kampung Annah Rais sebagai pusat asal perkembangan masyarakat Biannah mempunyai nilai sejarah tinggi dengan penempatan berusia lebih 200 tahun, sekali gus menjadi titik permulaan penyebaran komuniti ke kampung lain seperti Kampung Sebakar, Kampung Sebuang, Kampung Semuti dan Kampung Sadir.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menekankan kepentingan pembangunan terancang dan strategik termasuk menaik taraf infrastruktur jalan raya, khususnya laluan Tebedu–Semuti–Sadir yang dijangka membuka akses lebih luas kepada pembangunan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar.
Dalam usaha memperkasa sektor pelancongan, kerajaan turut menyalurkan peruntukan kira-kira RM8 juta bagi pembangunan produk pelancongan di Kampung Annah Rais.
Inisiatif tersebut merangkumi pembangunan waterfront, pelaksanaan program pelancongan komuniti, pembinaan amfiteater serta penyediaan rumah pameran budaya.
“Pembangunan pelancongan berasaskan budaya ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada Kampung Annah Rais, malah turut memberi manfaat kepada kampung sekitar melalui kesan rantaian,” katanya semasa berucap dalam majlis Makan Malam Persatuan Biannah 2026, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Biannah, Simbas Mair berkata, persatuan tersebut ditubuhkan bagi menyatukan komuniti, memperkukuh pengurusan serta menjaga kebajikan ahli termasuk bantuan bencana, kematian dan sokongan pendidikan.
Beliau menjelaskan bahawa penganjuran majlis makan malam itu bukan bertujuan mengumpul dana, sebaliknya sebagai platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh jaringan komuniti dalam kalangan masyarakat Biannah.
Sejak penubuhannya, persatuan berkenaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peruntukan kebajikan, sokongan pendidikan serta pelaksanaan inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk di 15 kampung terlibat.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap. -EDISI UKAS