Kepimpinan Akar Umbi Perkukuh Perpaduan & Kesejahteraan Komuniti
SIBU: Peranan kepimpinan akar umbi terus menjadi faktor penting dalam memperkukuh perpaduan serta memastikan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata, kerjasama erat dalam kalangan ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi mampu mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan program serta inisiatif untuk masyarakat.
“Perpaduan merupakan asas penting dalam menjamin keharmonian serta memperkukuh keupayaan kerajaan melaksanakan dasar secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi pihak Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa'ee pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.54 Pelawan yang berlangsung di Dewan LAKIS Sibu, pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Cawangan PBB Pelawan, Syed Hamzah Wan Hamid Edruce berkata, perbezaan pandangan dalam sesebuah organisasi adalah perkara biasa, namun perlu ditangani secara matang demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan.
Beliau turut menggesa agar semua pihak terus memainkan peranan masing-masing serta mengekalkan semangat kerjasama dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Menurutnya, perpaduan yang kukuh menjadi asas kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammad Abdullah Izkandar Roseley, bersama ahli-ahli PBB dari cawangan sekitar wilayah tengah.-EDISI UKAS