Perhimpunan JBPM Sarawak Perkukuh Kesatuan, Kesiapsiagaan Operasi
MIRI: Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bagi Mac 2026 menjadi platform memperkukuh kesatuan pasukan serta meningkatkan kesiapsiagaan operasi.
Majlis di Zon 6, Miri itu disempurnakan Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran dengan kehadiran pegawai kanan dan warga jabatan.
Beliau menegaskan tema “Kesatuan Bukan Keseragaman” mencerminkan kekuatan organisasi melalui kepelbagaian pengalaman dan kepakaran, sekali gus penting dalam menghadapi operasi mencabar.
Anggota turut digesa mengamalkan komunikasi terbuka, saling menghormati dan memperkukuh kerja berpasukan tanpa mengira pangkat.
JBPM juga memberi fokus kepada pengukuhan pasukan khas seperti HAZMAT, PPDA, EMRS, RIM dan Unit K9 dengan sasaran pengisian penuh menjelang 2027.
Selain itu, usaha meningkatkan keupayaan operasi dilaksanakan melalui agihan kenderaan dan perolehan 6,000 pakaian kalis api, manakala RM10 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan kuarters bomba serta kemudahan berkaitan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan perkembangan global turut menuntut kesiapsiagaan tinggi dan koordinasi antara agensi.-EDISI UKAS