Kejohanan Catur Mukah Tarik Penyertaan Pelbagai Peringkat, Terima Geran RM5,000
MUKAH: Persatuan Catur Bahagian Mukah menerima geran aktiviti tahunan berjumlah RM5,000 sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan catur di peringkat tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pemberian geran tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkasa penganjuran program berkaitan catur serta menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.
“Penganjuran kejohanan seumpama ini bukan sahaja dapat melahirkan pemain berpotensi, malah membantu membentuk pemikiran strategik dan meningkatkan daya tumpuan dalam kalangan peserta khususnya golongan muda.
“Usaha Persatuan Catur Bahagian Mukah dalam menganjurkan program berimpak positif seperti ini wajar diteruskan kerana mampu mencungkil bakat serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan berfikir seperti catur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mukah Rapid Chess Tournament yang berlangsung di Li Hua Hotel, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Royston turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.
Hadeli Japarudin telah dinobatkan sebagai johan, diikuti Izz Dzakwan Abdul Mutalib sebagai naib johan, manakala Nabil Syahmi Mazuhijam meraih tempat ketiga.
Kejohanan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan umur, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap sukan catur di daerah ini.-EDISI UKAS