KOTA SAMARAHAN: Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sarawak I menjadi platform penting membuka laluan masa depan generasi muda negeri ini apabila menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi dalam satu ekspo berskala besar pada 11 hingga 12 April ini di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, Kuching.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah berkata, penganjuran tersebut bukan sekadar ekspo pendidikan, malah menjadi medan strategik memperkasa pembangunan bakat selaras keperluan ekonomi masa depan Sarawak.
“Ini merupakan ekspo pendidikan tinggi terbesar di Sarawa, satu platform untuk semua bakal calon mendapatkan maklumat berkaitan program-program akademik,” katanya dalam sidang media di Kampus Samarahan 2, pada Selasa.
Beliau menambah, program tersebut terbuka kepada lepasan SPM, STPM, diploma serta masyarakat umum yang ingin meningkatkan kelayakan akademik ke peringkat lebih tinggi.
“Ini merupakan peluang terbaik bukan sahaja untuk lepasan SPM, tetapi juga STPM, diploma dan masyarakat setempat termasuk yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, sarjana dan PhD,” katanya.
Menurutnya, JMU 2026 turut menyediakan khidmat kaunseling akademik secara terus bagi membantu calon membuat keputusan tepat berdasarkan minat dan keperluan industri.
“Kita menyediakan platform khas untuk membantu calon memilih program akademik yang bersesuaian dengan hala tuju masa depan,” ujarnya.
Sebanyak 54 reruai pameran akan disediakan melibatkan 20 universiti awam, 21 institusi pengajian tinggi swasta serta penyertaan politeknik dan agensi berkaitan.
Selain itu, 13 reruai khas STEM turut diketengahkan sebagai usaha memperluas minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang menjadi tunjang ekonomi masa depan negeri.
Penganjuran kali ini menyasarkan kehadiran tinggi berdasarkan rekod hampir setengah juta pengunjung pada edisi terdahulu di Kuching.
Majlis perasmian karnival akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang mewakili Premier Sarawak.
Sehubungan itu, pelajar, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk hadir merebut peluang mendapatkan maklumat pendidikan tinggi sekali gus membina laluan masa depan yang lebih cerah.-EDISI UKAS