Projek Benteng Sebuyau–Sebangan Perkukuh Keselamatan Komuniti
SEBUYAU: Usaha memperkukuh perlindungan rakyat pesisir daripada ancaman banjir dan hakisan pantai terus diperkasa menerusi pelaksanaan Projek Benteng Sebuyau–Sebangan yang kini siap sepenuhnya, sekali gus menjadi benteng utama keselamatan komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi mengetuai lawatan pemantauan ke projek tersebut di Skim Saliran Sebangan Sebuyau Blok F, Bahagian Samarahan, pada Selasa.
Projek mitigasi banjir bernilai RM34.6 juta itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak melalui peruntukan Alternative Funding (AF) dengan siling keseluruhan RM51 juta.
Menurut taklimat, projek yang bermula pada 28 Oktober 2020 itu telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2025, dengan pencapaian fizikal dan kewangan masing-masing mencapai 100 peratus tanpa sebarang isu utama.
Skop pelaksanaan meliputi kerja pembersihan tapak, pengorekan, penambakan, rawatan tanah, kerja cerucuk, pemasangan culvert konkrit pratuang serta pembinaan benteng pantai lengkap dengan struktur perlindungan batu sepanjang kira-kira 4.08 kilometer.
Pelaksanaan projek ini memberi fokus kepada pengurangan risiko banjir melalui sistem perparitan yang lebih efisien, kawalan aliran air yang lebih sistematik serta perlindungan hakisan pantai secara menyeluruh.
Sepanjang lawatan, beliau turut mendengar taklimat daripada agensi pelaksana berkaitan kemajuan projek serta impak positif terhadap kawasan sekitar, khususnya dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui pemantauan rapi bersama Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara cekap, terancang dan berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir pantai.-EDISI UKAS