TPM Akhiri Lawatan Ke Sarawak, Fokus Percepat Pembangunan Luar Bandar
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan lawatan kerja sehari ke Sarawak hari ini dengan tumpuan jelas mempercepat agenda pembangunan luar bandar, khususnya bekalan air kepada rakyat.
Beliau berlepas pulang pada jam 4.50 petang melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.
Sepanjang lawatan, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kepada Kerajaan Sarawak, satu langkah strategik bagi mempercepat pelaksanaan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
Selain itu, beliau turut menyantuni rakyat menerusi Program Ziarah Kasih dengan mengunjungi kediaman Datuk Zainudin Suut, sekali gus memperkukuh pendekatan turun padang dalam memahami keperluan sebenar masyarakat.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan berimpak tinggi, khususnya dalam memperluas akses kemudahan asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS