Majlis Tautan Harmoni Gong Xi Aidilfitri 2026 Himpunkan Masyarakat Majmuk
KUCHING: Majlis Tautan Harmoni Gong Xi Aidilfitri 2026 anjuran Kolej Universiti i-CATS berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan keharmonian.
Majlis diadakan di universiti itu pada Selasa diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi platform memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
“Tema Tautan Harmoni ini bukan sekadar nama, tetapi mencerminkan siapa kita sebagai masyarakat Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya namun mampu duduk semeja, berkongsi kegembiraan dan meraikan kebersamaan,” katanya.
Beliau menambah, gabungan sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina membawa makna yang lebih besar dalam membentuk semangat kekeluargaan dan perpaduan.
“Aidilfitri mengajar kita tentang kemaafan dan menghargai hubungan, manakala Tahun Baharu Cina melambangkan harapan dan permulaan baharu.
“Apabila kedua-dua semangat ini digabungkan, ia membentuk satu suasana yang menyatukan kita sebagai satu keluarga,” jelasnya sambil menambah, majlis seumpama itu penting dalam memperkukuh interaksi sosial di luar suasana kerja formal.
“Dalam kesibukan harian, kita jarang berpeluang untuk berhenti seketika, bertegur sapa dan mengeratkan hubungan. Justeru, platform seperti ini memberi ruang untuk kita berhubung semula dan memperbaharui silaturahim,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa i-CATS bukan sahaja membina kecemerlangan akademik, malah menitikberatkan pembentukan komuniti yang berteraskan nilai saling menghormati dan memahami.
Sebagai simbolik perpaduan, majlis turut diisi dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian oleh kumpulan i-CAT Performing Arts, persembahan nyanyian serta segmen “Harmony through Calligraphy”.
Kemuncak majlis menyaksikan upacara memotong pulut kuning sebagai lambang kesyukuran dan kebersamaan, diikuti penyampaian cenderahati kepada TYT Sarawak.
Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan makan serta sesi interaksi santai antara tetamu sebelum berakhir sekitar jam 5.00 petang.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian bersama isteri, Datin Amar Enn Ong Siok En, Pengerusi PPKS Ilmm Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Hussain serta isteri Datin Amar Nur Ashima Aziz, serta kenamaan lain.- EDISI UKAS