Prestasi SPM Dalat Lonjak, Asas Modal Insan Luar Bandar Diperkukuh
DALAT: Pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di daerah Dalat menunjukkan peningkatan ketara apabila Gred Purata Sekolah (GPS) dan Gred Purata Daerah (GPD) mencatatkan prestasi lebih baik, sekali gus memperkukuh momentum pembangunan pendidikan luar bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan prestasi yang direkodkan mencerminkan keberkesanan pendekatan bersepadu melibatkan pihak sekolah, guru, ibu bapa serta sokongan berterusan kerajaan dalam memperkasa pendidikan luar bandar.
Dari segi pencapaian, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya mencatatkan GPS 4.77 sekali gus melepasi sasaran 4.95.
Selain itu, SMK Dalat turut menunjukkan peningkatan apabila merekodkan GPS 5.37 berbanding 5.64 pada tahun sebelumnya, manakala Gred Purata Daerah (GPD) dicatatkan pada 4.87.
Trend peningkatan ini memperlihatkan asas kukuh dalam pembangunan modal insan di kawasan luar bandar, selari dengan keperluan melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada 36 pelajar cemerlang di Pusat Khidmat DUN Dalat pada Selasa.
Menurutnya, pengiktirafan melalui pemberian insentif berperanan sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dan berdaya saing pada masa hadapan.
Beliau turut menekankan bahawa pencapaian tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk pelajar terus melakar kejayaan ke peringkat lebih tinggi.
Majlis berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai teras utama pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS