RM39.68 Juta Disalur Kepada Asnaf, TBS Perkukuh Jaringan Kebajikan Ummah
MIRI: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus memperkukuh jaringan kebajikan ummah di negeri ini apabila menyalurkan sebanyak RM39.68 juta kepada golongan asnaf melalui pelbagai program pembangunan dan bantuan setakat 31 Mac 2026.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan TBS dalam memastikan kesejahteraan golongan memerlukan sentiasa terbela, di samping memperkasa pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat Islam di Sarawak.
Penyaluran dana itu dilaksanakan menerusi empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah serta Program Peningkatan Kemahiran Ummah yang memberi impak menyeluruh kepada penerima.
Dalam perkembangan berkaitan, TBS Bahagian Miri turut menganjurkan Hari Bersama Pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Islam Sarawak Miri pada Rabu sebagai platform mendekatkan agensi dengan masyarakat setempat.
Menurut kenyataan TBS, program tersebut bertujuan menghargai pembayar zakat, penerima bantuan, amilin serta sokongan berterusan daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun serta rakan strategik.
Majlis berkenaan turut meraikan golongan asnaf dan pelanggan TBS dalam suasana penuh kemesraan dengan hidangan istimewa Aidilfitri serta persembahan lagu-lagu raya.
Selain itu, kaunter perkhidmatan disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan, urusan pembayaran zakat serta perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh TBS.
Hadir sama Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Timbalan Pengurus Besar TBS, Iskandar Allan.-EDISI UKAS