RM6.9 Juta Projek Pembangunan Pertanian Disalur Di Batang Lupar
SRI AMAN: Usaha memperkasa sektor pertanian Sarawak terus diperkukuh apabila projek pembangunan pertanian bernilai keseluruhan RM6.9 juta disalurkan kepada lima penerima di kawasan Batang Lupar, sekali gus menjadi pemangkin peningkatan produktiviti serta penggunaan teknologi moden dalam kalangan pengusaha tempatan.
Penyerahan peruntukan tersebut berlangsung sempena Majlis Perasmian Program Gelombang Padi Sarawak: Smart Sarawak Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin, pada Khamis.
Lima penerima ialah James Batang Lang yang menerima dana sebanyak RM1.53 juta, Mancha Uchang (RM3 juta) dan Waine Jaya (RM300,000) .
Sementara itu, Sapawi Mentahir pula menerima bantuan sebanyak RM1.3 juta manakala Alfred Renang menerima RM800,000.
Bantuan yang disalurkan merangkumi penyediaan input pertanian, perolehan jentera, kerja pembersihan kawasan penanaman padi, menaik taraf jalan ladang serta penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam mempergiatkan aktiviti penanaman padi secara lebih sistematik dan berteknologi tinggi, selaras dengan usaha meningkatkan hasil pengeluaran serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Luqman Ahmad, . -EDISI UKAS