RM231 Juta Naik Taraf Jajaran Durin-Salim Lebuhraya Pan Borneo
SIBU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM231 juta tahun ini bagi melaksanakan kerja menaik taraf secara menyeluruh jajaran Durin-Salim di Lebuhraya Pan Borneo, berhampiran Sibu Jaya.
Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan tersebut akan difokuskan kepada kerja-kerja menaik taraf struktur turapan serta penambahbaikan berkaitan di jajaran tersebut yang dilaporkan tidak rata dan membahayakan pengguna.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan rungutan orang awam mengenai keadaan laluan di KM28 lebuh raya berkenaan yang berpotensi menjejaskan keselamatan jalan raya akibat isu mendapan.
"Saya sendiri bersama pasukan Pan Borneo Sarawak dan pegawai Kementerian Kerja Raya telah turun ke lokasi berkenaan sebelum ini bagi meninjau keadaan sebenar di jajaran tersebut.
“Tinjauan itu penting bagi membolehkan penilaian dibuat secara langsung, khususnya melibatkan tahap ketidakrataan permukaan jalan serta keperluan tindakan susulan yang lebih menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, pihaknya kini bersama agensi pelaksana sedang melengkapkan proses penilaian teknikal serta penyelarasan pelaksanaan sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan di tapak.
Jelas beliau, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan penyelesaian yang bakal dilaksanakan adalah komprehensif dan mampan untuk menangani isu struktur jalan di kawasan tersebut secara berkesan.
"Sementara itu, kerja-kerja penyelenggaraan interim akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehlaluan jalan sentiasa terpelihara sehingga pelaksanaan projek menaik taraf dimulakan," tambahnya.
Dato Sri Alexander turut menegaskan komitmen kementerian untuk mempercepatkan inisiatif tersebut dan akan memantau rapi perkembangan projek demi keutamaan keselamatan dan keselesaan pengguna.-EDISI UKAS