Pameran Pendidikan & Kerjaya Miri Tawar Lebih 300 Peluang Pekerjaan
MIRI: Lebih 300 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian Ting Chiew Yew Kali Ke-5 Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April di Stadium Tertutup Miri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran pameran tersebut bertujuan membantu pelajar dan pencari kerja memahami hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka dengan lebih jelas.
Menurut beliau, sebanyak 40 institusi pendidikan dan 20 syarikat mengambil bahagian dalam edisi kali ini, mencerminkan kepentingan pembangunan pendidikan dan kerjaya dalam komuniti setempat.
“Platform ini menghimpunkan pelbagai maklumat penting termasuk peluang melanjutkan pengajian, pemilihan kursus, biasiswa, bantuan kewangan, skim pinjaman pendidikan serta laluan kerjaya dan keperluan industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran tersebut di Stadium Tertutup Miri, pada Jumaat.
Tambahnya, pameran kerjaya yang diadakan turut menampilkan sesi perkongsian oleh syarikat serta ceramah harian bagi memberi pendedahan terkini mengenai pasaran pekerjaan kepada peserta.
Dalam masa sama, pelbagai agensi termasuk yayasan, badan pembiayaan pendidikan tinggi dan institusi kewangan turut serta bagi memberikan khidmat nasihat profesional berkaitan bantuan kewangan kepada pelajar.
“Ini penting bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat mengenai sokongan yang tersedia dalam usaha melanjutkan pengajian,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar, graduan dan ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dengan meneroka pelbagai pilihan, mendapatkan maklumat dan merancang masa depan secara bijak.
Seiring penganjuran program tersebut, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri turut menganjurkan Program Jualan Rahmah pada 11 April di kawasan parkir stadium bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Terdahulu, majlis turut dihadiri Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Miri Education Initiative Society (MEIS) Kaunselor Leslie Lau, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri Grispin Sahah, wakil rakan pendidikan MMS Ms Ing Hui serta wakil PERKESO Jimmy Hendrick Kijon.
Penganjuran edisi kelima ini diharap terus menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai individu berkemahiran sekali gus memperkukuh pembangunan pendidikan dan peluang pekerjaan di Sarawak.- EDISI UKAS