MIRI: Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri dengan menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri semasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan tidak hanya bergantung kepada idea semata-mata, sebaliknya dibina oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi dan minda berkeupayaan.
“Pembangunan bukan sekadar bergantung kepada idea, tetapi dibina oleh tangan yang mahir dan minda yang berkeupayaan. Justeru, TVET menjadi pemangkin utama dalam menyokong pelbagai sektor termasuk infrastruktur, pelancongan, teknologi digital serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Bertauliah Almacrest Global Skills Centre (AGSC) Miri bagi tahun 2026 di sini, pada Jumaat.
Pada majlis tersebut, seramai 58 graduan diraikan, mencerminkan kejayaan berterusan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Sarawak.
Beliau turut menegaskan komitmen Sarawak dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui pelaburan berterusan dalam pendidikan, sekali gus melahirkan generasi muda yang berkemahiran, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Mengulas mengenai bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, beliau menyifatkan peranan pendidik sebagai amat signifikan dalam membentuk asas perkembangan kognitif, emosi dan sahsiah kanak-kanak.
“Apabila pendidik awal kanak-kanak dilatih dengan baik, ia akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, sekali gus menyumbang kepada pembentukan individu yang lebih yakin serta berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Bertauliah AGSC Miri, Sterwina Kho Wan Ling berkata, konvokesyen tersebut merupakan detik bersejarah yang meraikan kejayaan empat kohort pertama Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
Menurutnya, AGSC Miri komited dalam menyediakan latihan kemahiran berkualiti serta melahirkan pendidik awal kanak-kanak yang kompeten dan bersemangat dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti.
“Graduan yang diraikan hari ini bukan sahaja mencapai kejayaan peribadi, malah menjadi perintis kepada usaha melahirkan tenaga pengajar yang mampu membentuk generasi masa depan,” katanya.
Konvokesyen julung kali ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah menjadi simbol permulaan kepada peranan graduan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
Majlis turut dihadiri wakil Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Kr. Kelvin Chia Kah Leong, barisan pengurusan tertinggi AGSC serta ibu bapa graduan.- EDISI UKAS