123 Warga JBALB Terima APC Sempena Sedekad Jabatan
KUCHING: Seramai 123 warga Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan sumbangan mereka sempena sedekad penubuhan jabatan itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, komitmen serta kerjasama berpasukan warga JBALB menjadi kekuatan utama jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan bekalan air kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya cukup yakin dengan kerjasama berpasukan yang diamalkan oleh JBALB sejak ditubuhkan 10 tahun lalu akan membolehkan jabatan ini mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi JBALB Sarawak 2026 di sini, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Julaihi, penyediaan bekalan air di Sarawak berdepan cabaran besar berikutan keluasan negeri, keadaan topografi serta kekangan logistik, justeru memerlukan komitmen berterusan dan kerjasama erat semua pihak.
Sehubungan itu, kerjasama antara JBALB, Sarawak Water dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan bekalan air yang disediakan mencukupi, stabil dan berkualiti untuk rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JBALB atas sumbangan dan khidmat bakti mereka, selain berharap pengiktirafan menerusi APC menjadi dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.-EDISI UKAS