Kerjasama Pelbagai Pihak Penting Perkasa Bakat Seni Muda Sarawak
KUCHING: Kerjasama antara institusi pendidikan, persatuan budaya dan agensi berkaitan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat seni generasi muda di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama itu perlu diperkasakan melalui penyediaan latihan, bengkel, program perantisan serta ruang persembahan bagi memberi peluang kepada golongan muda mengembangkan bakat dan kreativiti dalam bidang seni dan budaya.
“Saya ingin melihat lebih ramai anak muda Sarawak melibatkan diri dalam bidang seni dan budaya, sama ada sebagai penggiat seni persembahan, pengkarya digital, pereka, penyelidik mahupun usahawan kreatif.
“Generasi muda perlu diberikan peluang untuk mempelajari kemahiran tradisional daripada pengamal budaya berpengalaman dan mengembangkan kreativiti tersebut melalui pendekatan baharu.
“Institusi pendidikan, persatuan kebudayaan dan agensi berkaitan perlu memperkukuh kerjasama dalam menyediakan latihan, bengkel, program perantisan serta ruang persembahan kepada bakat muda,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa majlis perasmian Borneo Indegenous Festival (BIF) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Jumaat.
Pada masa yang sama, Premier Sarawak berkata, komuniti yang lebih kecil dan kurang dikenali juga perlu diberikan peluang yang sewajarnya untuk memperkenalkan identiti dan warisan mereka.
Usaha memelihara warisan seni dan budaya, katanya, perlu dilaksanakan secara berterusan di peringkat akar umbi dan tidak hanya tertumpu kepada penganjuran acara tahunan.
Beliau berkata, pendedahan terhadap sejarah dan budaya sendiri dapat membantu generasi muda menghargai identiti mereka serta memahami tanggungjawab untuk mewariskannya kepada generasi akan datang.-EDISI UKAS