Komuniti Perlu Terlibat Dalam Pendigitalan Warisan Budaya
KUCHING: Penglibatan langsung komuniti yang memiliki pengetahuan budaya perlu menjadi asas dalam usaha pendigitalan warisan masyarakat peribumi bagi memastikan dokumentasi yang dihasilkan tepat serta menghormati adat dan nilai tradisi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha mendokumentasikan warisan budaya perlu melibatkan golongan tua dan pengamal budaya tradisional yang mempunyai pengetahuan serta pengalaman berkaitan.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap dokumentasi bukan sahaja tepat dari segi maklumat, malah mengambil kira sensitiviti masyarakat yang mewarisi budaya berkenaan.
“Teknologi boleh membantu kita mengumpulkan dan memproses maklumat, tetapi pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan masyarakat tetap menjadi asas kepada pemeliharaan warisan yang sebenar.
“Oleh itu, usaha pendigitalan warisan perlu dilaksanakan dengan penglibatan langsung komuniti yang memiliki pengetahuan tersebut, khususnya golongan tua dan pengamal budaya tradisional.
“Pendekatan ini penting supaya setiap dokumentasi bukan sahaja tepat dari segi maklumat, tetapi turut menghormati adat, nilai dan sensitiviti masyarakat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa majlis perasmian Borneo Indegenous Festival (BIF) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk membantu mendokumentasikan, memelihara dan memperkenalkan warisan budaya kepada generasi baharu.
Beliau berkata, antara kaedah yang boleh digunakan ialah rakaman digital, arkib multimedia, pemodelan tiga dimensi dan platform dalam talian bagi menyimpan pengetahuan berkaitan bahasa, muzik, tarian, seni serta adat tradisional masyarakat peribumi.
Bagaimanapun, tegasnya, kemajuan AI tidak mampu menggantikan kebijaksanaan manusia dalam memahami nilai, makna dan warisan budaya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Fredrick serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dr. Suffian Jalet.-EDISI UKAS