Sarawak Pelawa UAE Teroka Potensi Gas Asli, Perluas Pengeluaran Produk Hiliran
KUCHING: Sarawak mengalu-alukan kerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meneroka dan membangunkan sumber gas asli negeri itu, termasuk memperluas pengeluaran produk hiliran yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sumber gas asli yang masih banyak di Sarawak membuka peluang kerjasama strategik dengan UAE dalam pembangunan industri berasaskan gas.
Menurut beliau, gas asli bukan sahaja boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga, malah berpotensi diproses menjadi pelbagai produk industri yang mempunyai permintaan di pasaran antarabangsa.
“Kita masih mempunyai banyak gas di Sarawak dan apa yang perlu dilakukan ialah meneroka sumber itu, dan di sinilah kita boleh bekerjasama dengan rakan kita dari UAE.
“Marilah kita bekerjasama untuk membangunkan pengeluaran gas,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak (EOYS) 2026, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa Sarawak sudah memulakan langkah itu menerusi pengeluaran metanol berasaskan gas asli, dengan perancangan seterusnya memberi tumpuan kepada pembangunan metanol hijau dan ammonia hijau.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, produk berkenaan mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan sektor perkapalan antarabangsa yang sedang mencari alternatif bahan api bagi menyokong peralihan kepada tenaga lebih bersih.
“Gas boleh diangkut dan dibangunkan untuk menghasilkan produk-produk lain daripadanya,” ujarnya.
Menurut beliau, pembangunan industri berasaskan gas itu perlu dilihat sebagai peluang untuk Sarawak meningkatkan nilai ekonominya melalui pemprosesan sumber tempatan serta memperluas penyertaan dalam pasaran tenaga global. -EDISI UKAS