Program Sarawakku Sayang Limbang Catat Sambutan Menggalakkan, Capai Matlamat Penganjuran
LIMBANG: Penganjuran Program Sarawakku Sayang Bahagian Limbang 2026 mencatat sambutan amat menggalakkan serta berjaya mencapai matlamatnya dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat itu berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, khidmat kaunter serta sesi interaksi secara langsung antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pendekatan turun padang melalui program seumpama ini memberi impak positif kerana rakyat bukan sahaja memperoleh maklumat secara dalam talian, malah berpeluang mendapatkan penjelasan secara terus daripada pegawai bertanggungjawab.
“Melalui program ini, pegawai-pegawai yang bertanggungjawab turut hadir bagi memberi penjelasan secara langsung mengenai perkhidmatan yang dipaparkan.
“Orang ramai bukan sahaja dapat berhubung dan memperoleh pemahaman yang lebih jelas, malah bagi perkhidmatan yang memerlukan pendaftaran, mereka juga boleh terus mendaftar di lokasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang di Kompleks Sukan Limbang, Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menegaskan, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh kepada rakyat.
Menurutnya, pameran berkaitan peluang pendidikan, kemasukan ke universiti serta pelbagai program pembangunan turut membuka ruang interaksi secara langsung antara agensi kerajaan dan masyarakat, sekali gus melengkapkan peranan platform digital sebagai sumber maklumat utama masa kini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berharap segala objektif yang ditetapkan dapat dicapai sepenuhnya, khususnya dalam memastikan masyarakat di kawasan Limbang yang terletak di hujung negeri tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Tambah beliau, pemilihan Limbang sebagai lokasi permulaan jelajah Program Sarawakku Sayang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memberi perhatian kepada kawasan luar bandar serta memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang disediakan.-EDISI UKAS