RM2.6 Bilion Projek Strategik Perkasa Keterjaminan Air & Tenaga Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa infrastruktur air dan tenaga di Sarawak menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik bernilai sehingga RM2.6 bilion, sekali gus mempertingkat keterjaminan bekalan serta kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan Program Squad PETRA selama dua hari yang bermula di Batang Ai memberi tumpuan menyeluruh terhadap sektor tenaga dan bekalan air.
Menurut beliau, program tersebut memfokuskan pembangunan tenaga termasuk hidroelektrik dan solar terapung sebelum diteruskan dengan penekanan kepada aspek bekalan air.
“Lawatan hari ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keterjaminan bekalan air bersih, termasuk projek pam di Kampung Sungai Lumut bagi menambah baik tekanan air serta memastikan agihan lebih efisien kepada penduduk,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, projek tersebut turut merangkumi usaha pengurangan Non-Revenue Water (NRW) melalui penggantian paip lama serta penambahbaikan sistem agihan bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil.
Selain itu, lawatan turut melibatkan beberapa lokasi lain termasuk Kampung Gersik, Kota Sentosa dan Stakan bagi meninjau pelaksanaan projek bekalan air serta tebatan banjir.
Dalam perkembangan berkaitan sektor tenaga, Datuk Amar Fadillah berkata lawatan ke stesen bahan api pelbagai guna hasil kerjasama antara SEDC Energy dan Petronas membuktikan potensi penggunaan teknologi hidrogen di Sarawak.
Katanya, stesen berkenaan menyediakan kemudahan pengisian hidrogen, pengecasan kenderaan elektrik serta bahan api konvensional, walaupun teknologi itu masih berada pada fasa awal dan belum sepenuhnya berdaya komersial.
“Projek ini bermula April 2022 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2024 dengan kos sekitar RM10 juta, sekali gus menunjukkan pelaksanaan teknologi hidrogen adalah feasible pada peringkat semasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu Pasar Ketiga bernilai RM97.2 juta yang siap pada Disember 2023 telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
Setakat ini jelas beliau, tiga projek RTB di Sibu telah siap, manakala dua lagi projek sedang dirancang dengan anggaran kos masing-masing melebihi RM120 juta dan RM469 juta.
"Di Kuching, projek RTB Kuching Fasa 2 yang turut melibatkan kawasan Samarahan kini berada pada peringkat perancangan dan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan," katanya lagi.
Tegasnya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan pengurusan sumber air lebih cekap, sekali gus menjamin bekalan air bersih yang mampan kepada rakyat Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, ADUN Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Dato’ Mohd Norhisham Musa, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir. Mohd Azmin Hussin, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS