Perkhidmatan Klinik Kesihatan Teng Bukap Terus Diperkasa, Tapak Baharu Diteliti
SERIAN: Kerajaan terus komited memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di Teng Bukap apabila tapak baharu bagi pembinaan Klinik Kesihatan kini dalam penelitian susulan penutupan fasiliti asal atas faktor keselamatan.
Susulan itu, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Teng Bukap bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta keperluan fasiliti kesihatan di kawasan berkenaan.
Pada awal lawatan, beliau dibawa meninjau lokasi asal Klinik Kesihatan Teng Bukap yang telah ditamatkan operasinya atas faktor keselamatan.
Beliau seterusnya melawat tapak cadangan baharu bagi pembinaan klinik tersebut, selain meninjau lokasi penempatan sementara di Dewan Teng Bukap yang kini digunakan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Dalam lawatan itu, beliau turut mendengar taklimat terperinci mengenai pengoperasian klinik di lokasi sementara, termasuk cabaran yang dihadapi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terus berjalan lancar.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneliti serta merangka langkah dan perancangan terbaik bagi menangani isu lokasi serta cabaran yang dihadapi oleh Klinik Kesihatan Teng Bukap.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selesa terus dapat dinikmati oleh masyarakat setempat.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.-EDISI UKAS