Pakej 2 MMMLL bermula, projek jambatan luar bandar dipergiat di Baram
MARUDI: Pelaksanaan Projek Jalan Miri–Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Lama–Long Panai (MMMLL) Pakej 2, Fasa 1 disertai inisiatif pembinaan dan baik pulih jambatan luar bandar, memperkukuh kesalinghubungan serta aksesibiliti di kawasan pedalaman Baram.
Usaha bersepadu itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara inklusif, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelancaran pakej kedua MMMLL membuktikan kesungguhan kerajaan merealisasikan agenda pembangunan melalui tindakan nyata di lapangan.
“Hari ini kita menyaksikan pelancaran pakej kedua MMMLL, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Inisiatif ini merupakan langkah penting ke arah memperluaskan kemudahan secara adil dan inklusif kepada semua rakyat Sarawak termasuk di Baram,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek tersebut di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, projek KOP2 melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 6.25 kilometer dari Simpang Puyot ke Sungai Kalijau mengikut piawaian JKR R3 dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek MMMLL bernilai RM3.8 bilion yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka memanfaatkan kira-kira 404,679 penduduk di Miri khususnya Baram melalui peningkatan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta peluang ekonomi baharu termasuk sektor pelancongan dan komersial.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut meluluskan 50 projek di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu dan Telang Usan dengan peruntukan melebihi RM80 juta.
Bagi DUN Mulu, sebanyak 22 projek dilaksanakan melibatkan peruntukan RM44.33 juta, merangkumi pembinaan baharu, baik pulih serta proses tender dan projek yang telah siap.
Manakala bagi DUN Telang Usan pula, sebanyak RM36.14 juta diperuntukkan untuk mengganti dan membaik pulih 28 jambatan balak yang rosak, termasuk projek yang sedang dibina, siap, dalam pembaikan serta peringkat tender dan reka bentuk.
Beliau menegaskan pelaksanaan projek jalan dan jambatan ini bukan sahaja meningkatkan mobiliti penduduk, malah memperkukuh rangkaian perhubungan luar bandar termasuk mengurangkan masa perjalanan dari Miri ke Mulu daripada kira-kira sembilan jam kepada hanya dua jam.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mempercepatkan pelaksanaan projek terbabit agar dapat disiapkan sebelum musim monsun November depan.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeru (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Ismawi Ismuni, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Chiew Chee Yau serta Residen Bahagian Miri Galong Luang.– EDISI UKAS