Pra Gawai Platform Sampaikan Inisiatif Kerajaan kepada Komuniti Rumah Panjang
MERADONG: Program Lawatan Pra Gawai di DUN Meradong terus dimanfaatkan sebagai platform strategik untuk mendekati rakyat sambil menyampaikan pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak kepada komuniti rumah panjang menjelang sambutan perayaan Gawai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program tahunan itu bukan sahaja melambangkan perpaduan dan penghormatan terhadap budaya masyarakat Dayak, malah menjadi medium penting untuk menyalurkan maklumat berkaitan bantuan dan insentif kerajaan secara terus kepada rakyat.
Menurutnya, lawatan hari pertama yang melibatkan kunjungan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Lemayong merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan setiap komuniti di kawasan tersebut tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Terdapat sebanyak 184 buah rumah panjang di DUN Meradong dan saya komited untuk mengunjungi setiap satu menjelang sambutan Gawai setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Lawatan Pra Gawai DUN Meradong di Rumah Panjang kawasan Sungai Lemayong, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan menjelaskan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, termasuk Kad Kenyalang Gold Card, Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) serta Endowment Fund Sarawak (EFS).
Tambah beliau, sektor pendidikan turut diberi penekanan melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian di institusi milik negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan infrastruktur serta kebajikan masyarakat luar bandar terus diperkasa.
Pada hari pertama program, beliau telah mengunjungi enam rumah panjang di kawasan Sungai Lemayong iaitu Rumah Ampa, Rumah George, Rumah Chemuring, Rumah Dipa, Rumah Likut dan Rumah Badi bagi menyantuni penduduk dalam suasana penuh muhibah menjelang sambutan Gawai.- EDISI UKAS