KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerima kunjungan hormat daripada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam aspek media dan komunikasi pada Selasa.
Delegasi UKPS diketuai oleh Timbalan Pengarah UKPS, Abang Ahmad Abang Julai dan disambut oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta pegawai-pegawai kanan UKAS.
Perbincangan tersebut memfokuskan kepada cadangan penggunaan kemudahan studio UKAS bagi penerbitan podcast serta perkongsian kepakaran media melalui latihan sangkutan dan bimbingan penampilan di hadapan kamera bagi meningkatkan kompetensi komunikasi petugas UKPS.
Selain itu, kedua-dua agensi bersetuju untuk memperkukuh kolaborasi dalam aspek hebahan strategik membabitkan isu kesedaran awam seperti wabak rabies, keselamatan makanan dan air serta memperkasa pertukaran maklumat semasa bertugas di lapangan.
Kerjasama ini turut melibatkan penglibatan UKAS sebagai rakan strategik dalam siri episod UKPS dan program penglibatan komuniti bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasaan lain, sekaligus memastikan penyampaian maklumat kerajaan yang lebih tepat dan berkesan kepada masyarakat.-EDISI UKAS