SUKMA Selangor: Kontinjen Sarawak Tingkat Persiapan
KUCHING: Kontinjen Sarawak terus melipatgandakan persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 yang akan diadakan di Selangor pada Ogos ini.
Ia menerusi perjumpaan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu bersama persatuan sukan, pengurus pasukan, pegawai pembangunan sukan dan jurulatih yang diadakan di Kuching pada Selasa.
Hadir sama dalam sesi perjumpaan tersebut ialah Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Khairul Nizam Morshidi.
Perjumpaan tersebut merupakan rutin aktiviti bagi kontinjen Sarawak setiap kali menjelang SUKMA bagi memperhalusi persiapan terkini kontinjen sebelum pertandingan bermula.
Ia juga menjadi sesi untuk mengenalpasti apa jua cabaran yang bakal dihadapi, memperbaiki kelemahan yang masih ada dan tindakan yang perlu dilaksanakan baik dari aspek persiapan mahupun kebajikan atlet kelak.
Kontinjen Sarawak bakal turun ke Selangor dengan membawa misi besar untuk mempertahankan reputasinya selaku juara bertahan.
Untuk rekod, SUKMA Ke-22 akan diadakan dari 15 hingga 24 Ogos di beberapa lokasi di Selangor dengan mempertandingkan sejumlah 37 jenis sukan melibatkan keseluruhan 474 acara. - EDISI UKAS