APM Lubok Antu Tingkat Persediaan Hadapi Kecemasan
LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu telah melaksanakan Latihan Bulanan Pasukan bagi April 2026 selama dua hari bermula 11 hingga 12 April lalu.
Latihan selama dua hari itu telah diadakan di bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Lubok Antu melibatkan kehadiran seramai 30 anggota yang terdiri daripada pegawai, jurulatih serta anggota lain-lain pangkat (LLP).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, sepanjang sesi terbabit, para anggota telah didedahkan dengan pelbagai silibus penting termasuk asas dan praktikal radio komunikasi (HF, VHF, UHF serta GIRN),.
Selain itu, para anggota katanya juga turut dilatih mengenai cara pelaporan kes melalui komunikasi radio di samping menjalani latihan asas kawad kaki yang melibatkan kawad statik, dinamik dan tatacara melapor serta hormat.
"Latihan bulanan ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan APM Daerah Lubok Antu yang mahu memastikan kesemua anggota sentiasa berada pada tahap optimum dan bersiap siaga.
“Pihak kami melalui latihan ini juga akan dapat menguji kemahiran teknikal, membentuk disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan anggota sejajar dengan kesediaan mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di Lubok Antu,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Desem turut menambah bahawa latihan berjadual seperti itu juga akan dapat memberi peluang kepada semua anggota APM Lubok Antu untuk mengasah kemahiran komunikasi dan koordinasi menerusi penggunaan radio di samping menambah disiplin melalui latihan kawad kaki yang menjadi simbol disiplin dan kesatuan yang melatih anggota untuk sentiasa fokus dan patuh arahan. -EDISI UKAS