SIMANGGANG: Penganjuran Forum Ekonomi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 April lalu mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Masyarakat Cina di Bahagian Sri Aman.
Forum anjuran Anak Perantau Simanggang bersama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman itu berjaya menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dengan sasaran penyertaan kira-kira 500 peserta setiap hari.
Ketua Masyarakat Cina Bahagian Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng berkata, menyifatkan kejayaan forum ini adalah merupakan hasil dorongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
"Pada pandangan saya, dorongan Premier Sarawak untuk mengadakan forum seperti ini telah membuktikan komitmen dan perhatian berterusan beliau terhadap kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar dan separa bandar khususnya di Lingga.
“Melalui forum ini, rakyat bukan sahaja berpeluang untuk mengikuti tajuk perbincangan tetapi juga mengetahui sendiri potensi besar yang dimiliki oleh Lingga untuk mencapai kemajuan selagi mendapat sokongan berterusan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Selain itu, Kueh yang juga Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman berkata, kehadiran ramai pakar pada forum berkenaan menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan yang inklusif di Lingga.
Katanya lagi, pembangunan inklusif terbabit bukan sekadar membina infrastruktur atau meningkatkan ekonomi tetapi memastikan semua lapisan rakyat seperti belia, wanita, kumpulan minoriti dan rentan di Lingga mendapat peluang sama rata.
"Forum seperti ini sememangnya wajar diadakan kerana ia menekankan cadangan pembangunan berdaya maju dalam sektor pelancongan, perniagaan, pertanian, e-dagang, pendidikan dan tenaga hijau selaras dengan hala tuju pembangunan berkualiti tinggi Sarawak serta integrasi Pelan Pembangunan Mampan Sarawak 2030," katanya.
Temenggong Kueh turut memuji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor sebagai pemimpin muda progresif yang giat memperjuangkan peluang pembangunan dan kebajikan rakyat terutamanya di Lingga.
Ujarnya, Dayang Noorazah merupakan contoh golongan generasi baharu yang berani membawa idea segar dengan DUN Lingga memerlukan tenaga muda seperti beliau untuk memastikan pembangunan tidak hanya berlaku di atas kertas tetapi benar-benar dirasai rakyat. -EDISI UKAS