Sarawak Pamer Pendekatan Transformasi Sektor Awam Di Program Inovasi Kebangsaan
SHAH ALAM: Kerajaan Sarawak melalui Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) di bawah Jabatan Premier Sarawak menyertai Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, di sini, pada Selasa.
Program tersebut menghimpunkan inovasi sektor awam berimpak tinggi dari seluruh negara dan menjadi platform strategik bagi perkongsian amalan terbaik dalam penyampaian perkhidmatan.
Delegasi Jabatan Premier Sarawak diketuai oleh Pengarah STIU, Superi Awang Said yang mewakili Sarawak dalam pameran yang diadakan pada 14 April 2026 itu.
Menurut Superi, pendekatan inovasi Sarawak memberi tumpuan kepada pembinaan sistem, pengukuhan tadbir urus dan pemerkasaan budaya kerja bagi memastikan pelaksanaan yang konsisten serta berimpak tinggi.
Selain itu, pendekatan berkenaan turut memperlihatkan kerangka transformasi yang komprehensif selain berkongsi pengalaman pelaksanaan secara praktikal ke arah memperkukuh hala tuju pembaharuan sektor awam yang mampan.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui pendekatan yang tersusun, berfokus dan berorientasikan hasil.-EDISI UKAS