Tiga Projek RTP di Pelawan Siap, Manfaatkan Komuniti Setempat
SIBU: Tiga Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM800,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan telah siap sepenuhnya dan kini memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata beliau telah turun padang melakukan pemeriksaan akhir terhadap projek-projek berkenaan pada Selasa.
Tiga projek tersebut melibatkan Taman Bodhi Seladah di Lorong Seladah 5A, Tadika Sing Ang Tong serta Taman Memorial Hin Hua di Jalan Teku Barat 1 yang kesemuanya telah melalui proses naik taraf atau pembinaan semula.
Menurut beliau, pembangunan Taman Bodhi Seladah dilaksanakan dalam dua fasa dengan jumlah peruntukan RM500,000.
“Fasa pertama berjumlah RM300,000 melibatkan kerja pembersihan kawasan, meratakan tanah, penanaman rumput serta pembinaan sistem perparitan.
“Fasa kedua pula bernilai RM200,000 merangkumi pembinaan laluan joging, laluan pejalan kaki, pemasangan lampu jalan serta kemudahan lain yang direka oleh Persatuan Penduduk Jalan Seladah,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, pihaknya berpuas hati dengan hasil pelaksanaan projek tersebut walaupun terdapat beberapa kekurangan kecil yang sedang diperbaiki oleh kontraktor.
Tambahnya, perancangan bagi fasa ketiga kini sedang disusun, yang akan melibatkan penambahan kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, peralatan senaman dan bangku awam.
Dalam pada itu, projek naik taraf Tadika Sing Ang Tong melibatkan peruntukan RTP sebanyak RM100,000, merangkumi penambahbaikan aras tanah, pembinaan tempat letak kereta serta sistem saliran bagi mengatasi isu banjir.
“Maklum balas pihak sekolah menunjukkan keadaan kini lebih terkawal walaupun ketika hujan lebat, dengan hanya sedikit penyesuaian tambahan diperlukan,” jelasnya.
Sementara itu, Taman Memorial Hin Hua yang dibangunkan semula dengan kos RM200,000 kini berada di lokasi baharu yang lebih strategik berbanding tapak asal yang dibina pada tahun 1992.
Menurut beliau, pembinaan semula taman tersebut bukan sahaja bertujuan memperingati sumbangan komuniti Hin Hua dalam pembangunan Sibu, malah mengekalkan nilai sejarah serta penghargaan terhadap pemimpin terdahulu.- EDISI UKAS